Program Cuti Sekolah: Motivasi Al-Quran (MAQ) adalah suatu program yang mensasarkan para remaja sebagai peserta dan di’rekabentuk’ khas untuk memenuhi aspek fizikal, intelektual, emosional & spiritual para remaja. Program ini khas dianjurkan pada waktu cuti sekolah disebabkan oleh permintaan daripada ibu bapa yang inginkan pengisian serta aktiviti untuk anak-anak mereka bagi memberi ilmu & kefahaman dalam jangka masa yang panjang. Atas kesedaran bahawa ilmu & motivasi itu perlu diterapkan dalam jangka masa yang panjang dan berulang-ulang, maka lahirlah MAQ untuk mengisi kekosongan tersebut dengan slogannya ‘All in Al-Quran’ yang bermaksud segala ilmu & motivasi itu bersumberkan daripada Al-Quran.

 

Bagi 3 tahun program MAQ yang dianjurkan sebelum ini, ia telah melahirkan ramai alumni-alumni dari pelbagai sekolah rendah dan menengah. Pelbagai aktiviti & perkongsian ilmu telah diadakan. Setiap tahun, pelbagai perkembangan ilmu, kemahiran dan motivasi yang menarik disediakan kepada para peserta. Trainer yang mengendalikan program serta slot-slot dalam MAQ adalah terdiri daripada mereka yang telah berpengalaman dalam bidang latihan & motivasi di Malaysia mahupun di luar negara.

 

 

 

MAQ pertama pada tahun 2009 telah dijalankan sebanyak 2 sesi iaitu sesi pagi di Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban manakala sesi petang di Masjid Kariah Panchor Jaya, Seremban. Sambutan yang diterima amat menggalakan bagi kedua-dua sesi ini di mana hampir 200 orang peserta telah mendaftar untuk mengikuti program jangka masa panjang ini walaupun julung-julung kali ia dianjurkan. Pelbagai aktiviti & pengisian sebagai nilai tambah kepada modul utama iaitu ‘Talaqqi Al-Quran’ dan ‘Hafazan serta Terjemahan Surah-surah Pilihan’ telah diberikan kepada para peserta. Untuk menjadikan ia lebih menarik permainan berkonsep serta riadhah turut ditekankan bagi mengoptimumkan potensi mereka di samping dapat meneratkan ukhwah sesama peserta dan fasilitator.

 

 

Untuk tahun kedua, MAQ V 2.0 telah mengalami pelbagai penambahbaikan dari segi bahan & modul. Para ‘trainer’ dan penceramah dari pelbagai konsultan & NGO telah dijemput bagi menyediakan pelajar untuk lebih memahami konsep motivasi & pelbagai ilmu yang bersumberkan Al-Quran. Satu sesi sahaja telah dijalankan di Masjid Kariah Panchor Jaya, Seremban dengan peserta melebihi 120 orang! Pelbagai pertambahan modul dalam ‘Slot Santai’ seperti ‘Aku Terhebat, ‘Cinta vs Cita-cita’, ‘English is Fun’, ‘Kasih Sayang Asas Motivasi’ dan banyak lagi telah memberi nilai tambah kepada para peserta sebagai persediaan dalam menjadi pelajar yang bukan setakat berjaya dalam bidang akademik,malah berjaya dalam kehidupan dan yang paling penting sebagai bekalan menghadapi negeri yang kekal abadi nanti.


MAQ V 3.0 pula telah diadakan di 8 buah lokasi di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang dengan melebihi 500 orang peserta. Sambutan yang diterima amat menggalakan sehingga mendapat permintaan daripada staf-staf Jabatan Kerajaan untuk diadakan bagi anak-anak mereka secara in-house.

Hasil daripada respon positif daripada ibu bapa dan para peserta, kami membawakan MAQ 4.0 dengan modul yang ‘segar’. ‘Trainer’ yang dijemput juga tidak kurang hebatnya iaitu Juara Imam Muda Asyraf (Juara Imam Muda musim pertama) dan Imam Muda Hassan (Juara Imam Muda musim kedua). Namun, slot utama iaitu ‘Talaqqi Al-Quran’ dan ‘Hafazan serta Terjemahan Surah-surah Pilihan’ tidak dilupakan dan telah dikemaskini baik dari segi bahan mahupun penyampaian. MAQ V 3.0 turut di'seri'kan lagi dengan aktiviti yang mengujifizikal & mental dengan dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada tutor Akademi Infitah, guru, ustaz, ustazah, graduan dan pelajar IPT yang mempunyai pengalaman akan dapat menjadikan MAQ ini lebih lancar dan memberi kesan yang positif untuk jangkamasa panjang. Semoga usaha yang kecil ini dapat memberi nilai yang besar kepada ibu bapa serta para remaja dalam meninggikan Al-Quran untuk diamalkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Amin.

 

"All in Al-Quran"